Monday 11 July 2016

Taktik Sorok Rokok Dalam Bilik Beku




Taktik Sorok Rokok Dalam Bilik Beku


KUANTAN -  Tindakan seorang pemilik kedai runcit menyorokkan 635 karton rokok seludup di dalam bilik sejuk beku di sebuah stor di kedainya akhirnya terbongkar apabila polis Marin menyerbu lokasi tersebut.


Dalam operasi kira-kira jam 2.15 petang semalam itu, pasukan polis Marin dari Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga yang diketuai Inspektor Mohd Haniff Omar bersama tiga anggota membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah stor di Jalan Hutan Setali, di sini.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Suprintenden Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik sejuk beku yang sudah rosak menjumpai beberapa kotak yang mengandungi beberapa karton rokok dipercayai rokok seludup pelbagai jenama.

Menurutnya, semua rokok seludup yang dijumpai dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Nilai rampasan termasuk cukai ditafsirkan bernilai RM101,600 melibatkan lapan jenis jenama rokok yang dirampas antaranya John White Putih, League Classic Merah dan League Ice Hijau.

“Buat masa ini, kita menahan suspek berusia 33 tahun iaitu pemilik kedai runcit yang juga pengedar rokok seludup di bandar ini,” katanya kepada media pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat orang awam itu tidak menolak kemungkinan kegiatan itu sudah lama dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya semua bekalan rokok seludup itu adalah untuk diedarkan sekitar bandar Kuantan ekoran permintaan tinggi daripada perokok tegar.

“Ini adalah kes keempat bagi tahun ini yang berjaya dibongkarkan pihak berkuasa,” katanya.



SHARE THIS

0 comments: