Tuesday 5 April 2016

Anak Panda: Pemenang teka nama panda diumum khamis




KUALA LUMPUR -- Keputusan Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi akan diumumkan di Zoo Negara pada Khamis ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pertandingan itu yang berlangsung dari 17 Nov hingga 17 Dis tahun lepas, melibatkan 22,830 penyertaan dari seluruh negara.

"Bilangan penyertaan itu lebih tinggi berbanding Pertandingan Menamakan Pasangan Panda yang diadakan pada 2012 dengan merekodkan 2,324 penyertaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata daripada 22,830 penyertaan itu, hanya sembilan nama dipilih oleh penganjur melalui satu saringan yang telus dan sistematik oleh panel juri profesional.

Beliau berkata kesemua sembilan nama tersebut telah dihantar kepada Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) untuk persetujuan pihak mereka.

"Pihak CWCA amat berpuas hati dengan keputusan pemilihan nama bagi anak panda gergasi tersebut.

"Hampir 50 peratus daripada 22,830 penyertaan yang diterima tidak memenuhi syarat-syarat pertandingan seperti butiran peserta tidak lengkap, faktor umur dan ketiadaan karektor Cina," katanya.

Pemenang utama pertandingan berkenaan akan menerima sebuah kereta Perodua Myvi, manakala motosikal Demak menanti pemenang kedua dan ketiga.

Kerajaan Malaysia menerima sepasang panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang, daripada kerajaan China pada 21 Mei 2014 sebagai tanda meraikan ulang tahun ke-40 jalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Liang Liang melahirkan anak panda betina pada 18 Ogos tahun lepas, dan anak panda gergasi itu mula dipamerkan kepada pengunjung Zoo Negara pada 17 Nov selepas hampir tiga bulan dikuarantinkan.

-- BERNAMA



SHARE THIS

0 comments: