Friday 15 July 2016

Erdogan Masih Berkuasa Di Turki



Erdogan Masih Berkuasa Di Turki

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kedutaan Turki di Malaysia hari ini mengulangi bahawa kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan masih berkuasa, dan menafikan cubaan rampasan kuasa di negara itu berjaya dilaksanakan.

Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, kedutaan itu turut menafikan pembabitan keseluruhan Angkatan Tentera Turki dalam cubaan rampasan kuasa itu, bermatlamat menggulingkan kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi.

"Presiden dan Kerajaan kami masih berkuasa. Angkatan Tentera Turki tidak terbabit dalam cubaan rampasan kuasa ini secara keseluruhannya.

"Ia dikendalikan oleh kuncu-kuncu dalam kalangan Angkatan Tentera dan mendapat respons yang selayaknya daripada negara kami," menurut kedutaan itu.

Menurut laporan, kenyataan tentera yang disiarkan media Turki pada Jumaat menyebut angkatan tentera merampas kuasa sepenuhnya di negara berkenaan, bagaimanapun Presiden Erdogan berkata pada awal Sabtu bahawa cubaan rampasan kuasa itu telahpun gagal, dan menggesa rakyat supaya menjunjung demokrasi.

Erdogan menyalahkan cubaan rampasan kuasa yang sedang berjalan itu ke atas pergerakan yang diketuai cendekiawan Islam Turki Fethullah Gulen yang kini tinggal di Pennsylvania, Amerika Syarikat, menurut laporan itu.

-- BERNAMA



SHARE THIS

0 comments: