Wednesday 13 July 2016

MPV terbakar seludup rokok




MPV terbakar seludup rokok

Johor Bahru: Kenderaan pelbagai guna (MPV) bernombor pendaftaran Singapura membawa rokok yang disimpan di bahagian enjin, terbakar di laluan keluar Malaysia di pemeriksaan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar di sini, malam semalam.

Kejadian berlaku pada 11.35 malam dan MPV itu dipandu lelaki warga Singapura berusia 24 tahun.

Kebakaran dipercayai bermula dari ruang enjin yang menempatkan rokok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan kebakaran MPV itu.

"Kejadian berlaku di laluan keluar kenderaan dari Malaysia ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar dan kebakaran dapat dipadamkan dalam masa tiga minit oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, hanya membabitkan kerosakan bahagian enjin serta keseluruhan kenderaan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kastam Negeri, Bahagian Pematuhan, Abu Hanipah Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kejadian itu, namun siasatan perlu dijalankan terlebih dahulu bagi mengetahui status rokok yang dibawa.

"Saya sudah berhubung dengan Bahagian Penguatkuasaan dan mengarahkan siasatan dijalankan," katanya yang memangku jawatan Pengarah Kastam Johor.

Sumber: hmetro



SHARE THIS

0 comments: