Wednesday 29 June 2016

Beribu kakitangan bank dijangka hilang kerja susulan brexit





LONDON – Beribu-ribu kakitangan bank dijangka kehilangan kerja di bandar ini susulan keputusan pungutan suara Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), lapor MailOnline semalam.

Bank HSBC dilaporkan mula merancang untuk memindahkan 1,000 pekerjanya dari London ke Paris kerana bimbang terhadap risiko kehilangan akses kepada pasaran tunggal di Eropah.

Satu sumber meramalkan seramai 70,000 pekerja bank mungkin dikeluarkan dari Britain menjelang tahun depan selepas keputusan pungutan suara itu mencetuskan kegawatan pasaran serta-merta.

Seorang konsultan kewangan memberitahu sebuah laman web kerjaya utama: “Anda akan melihat sekitar 50,000 hingga 70,000 pekerja bank di London dipindahkan ke luar negara dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Tenaga kerja akan dikurangkan dan proses pemindahan ini dijangka bermula pada minggu hadapan,” katanya yang enggan dikenali.

Jika United Kingdom tidak memuktamadkan satu perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara EU yang masih ada, HSBC akan mengurangkan operasi di London dan meningkatkan kapasiti kakitangannya di Perancis, menurut Perbadanan Penyiaran British.

Kakitangan yang terjejas ketika ini bekerja di Canary Wharf, memproses pembayaran yang didominasi nilai mata wang euro.

Jika berpindah, mereka akan menyertai 10,000 kakitangan HSBC lain di Paris, kira-kira satu perlima daripada saiz kakitangannya iu pejabat bank itu di London.

HSBC bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai laporan tersebut.

Firma-firma kewangan berminat untuk kekal dalam sebahagian sistem pasport meluas Eropah yang membolehkan bank mengendalikan operasi di mana-mana sahaja di benua itu.

Sejumlah firma kewangan utama lain termasuk Morgan Stanley, BNP Paribas dan JPMorgan dilaporkan telah membuat perancangan untuk mengurangkan perniagaan di Britain.

Bank-bank yang berpangkalan di Amerika Syarikat dengan operasi besar di London pula menyatakan, mereka akan meneliti perkembangan itu namun, mengancam memindahkan kakitangan mereka jika itu satu-satunya cara untuk terus berhubung dengan EU.

Kebanyakan bank menyaksikan kejatuhan pasaran saham pada Jumaat lalu selepas keputusan referendum itu menyaksikan rakyat Britain memilih untuk keluar daripada EU. - AGENSI




SHARE THIS

0 comments: