Sunday 17 April 2016

Pokok Tumbang Tempurung Kepala Retak




Alor Setar: Seorang kanak-kanak lelaki retak tempurung kepala akibat dihempap kayu alang rumah yang runtuh selepas pokok durian tumbang dan menghempap rumahnya di Kampung Bakar Sampah, Sik, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa Muhammad Ammar Ashraf Mohamad Zamri, 10, bersama adiknya Mohamad Haziq Hibatullah Mohamad Zamri berusia sembilan tahun sedang menonton televisyen sebelum tiba-tiba pokok durian dipercayai berusia 100 tahun tumbang dan menghempap kediaman mereka.

Ibunya Norhamidah Ismail, 33, berkata, ketika kejadian itu dia sedang memasak di dapur sebelum terdengar bunyi seperti pokok patah menyebabkan dia cuba menyelamatkan anak-anaknya.

“Bagaimanapun kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat ke ruang tamu apabila pokok durian itu terus menghempap rumah.

“Bekalan elektrik ketika itu turut terputus menyebabkan dalam keadaan bergelap saya terus menyelamatkan dua anak yang ketakutan, namun ketika itu masih belum menyedari Ammar tercedera,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, tadi.

Norhamidah berkata, selepas berjaya keluar dari rumah dan dibantu jiran barulah dia menyedari anaknya berdarah di kepala sebelum dihantar ke Hospital Sik.

“Bagaimanapun akibat kecederaan serius anak saya kemudian dipindahkan ke sini (HSB) namun kini keadaannya sudah stabil,” katanya.

Sumber: Hmetro



SHARE THIS

0 comments: